SMM dan Bebas serah memo, bukti keganasan polis insiden di UPSI |
Oleh Mohd Farhan Darwis
KUALA LUMPUR, 5 Jan — Gerakan Menuntut
Kebebasan Akademik (Bebas) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari
ini menyerahkan memorandum dan bukti-bukti keganasan terhadap mahasiswa
oleh anggota polis ketika insiden 1 Januari lalu kepada pihak polis.
Penyerahan tersebut dilakukan oleh Presiden Kumpulan Aktivis
Mahasiswa Independen (Kami), Haziq Abdullah Abd Aziz di Ibu Pejabat
Polis Bukit Aman di sini.
Dalam memorandum itu, jurucakap Bebas ini juga mendesak pihak polis
menyiasat dan mengambil tindakan selanjutnya terhadap pegawai polis yang
menggunakan kekerasan dan keganasan terhadap mahasiswa dalam insiden di
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada malam tahun baru lalu.
“Mahasiswa menuntut pihak polis segera menyiasat perkara ini dan
mengambil tindakan terhadap keganasan yang berlaku di UPSI tempoh hari.
“Memorandum tersebut mengandungi bukti keganasan pihak polis dan juga
testimonial mangsa dan saksi keganasan mereka,” katanya lagi.
Menurut Haziq, salinan memorandum tersebut akan turut diserahkan
kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, dan juga Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia (Suhakam).
“Sekiranya polis tidak mengambil sebarang tindakan, mahasiswa akan mengambil tindakan yang lebih tegas,” katanya.
BERITA SEMASA DAN BERITA TERKINI
BERITA SEMASA DAN BERITA TERKINI
Memorandum tersebut diterima oleh DSP Venugopal Navaratnam, Pegawai Penerbitan Cawangan Perhubungan Awam PDRM Bukit Aman.
Turut serta dalam penyerahan memorandum tersebut adalah Presiden
Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) Adam Adli, Pengerusi SMM, Ahmad Shukry
Abd Razab, Timbalan Presiden Kami, Khalid Mohd Ismath, dan Dr Mohd
Suhaimi Mat Aris, wakil Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) serta 20
penyokong kumpulan mahasiswa tersebut.
Sementara itu, Adam turut menyatakan dia bersiap sedia untuk perbicaraan kesnya di mahkamah UPSI pada 9 Januari depan.
“Saya sedang bersiap sedia untuk hadir ke mahkamah UPSI untuk perbicaraan kesalahan menurunkan bendera Datuk Seri Najib.
“Di situ nanti kita akan melihat sejauh mana pihak universiti akan
menggunakan sepenuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan
sejauh mana ia berfungsi,” katanya lagi.
Adam turut menjelaskan, perbicaraan tatatertib di mahkamah institusi
pengajian tinggi adalah lebih kejam kerana tiada ruang untuk membela
diri.
“Mahkamah luar kita lihat ada hukuman tetap untuk setiap kesalahan
yang dilakukan, tetapi perkara itu tidak berlaku di mahkamah institusi
pengajian tinggi,” tambahnya.
Insiden di UPSI malam 1 Januari awal minggu lalu telah mengakibatkan
seorang pemimpin mahasiswa, Muhammad Safwan Anang mengalami kecederaan
dan dimasukkan ke Hospital Slim River.
Dalam kejadian itu, Safwan telah mengalami kecederaan pecah di
bahagian kiri bibir apabila mendakwa pihak polis menumbuk bahagian kiri
mukanya dan ditendang menggunakan lutut yang mengakibatkan dia tidak
sedarkan diri selama lebih kurang sejam.
Safwan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam dalam keadaan masih lagi berkerusi roda.
Dia yang diwakili peguam Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi menegaskan pihak
polis tidak mengeluarkan bukti penuh rakaman video insiden tersebut,
sebaliknya mendakwa, rakaman video tersebut adalah rakaman sebelum
kejadian keganasan dilakukan pihak polis.
source: yahoo news
No comments:
Post a Comment