‘Saya dibebaskan kerana tidak bersalah,’ kata Anwar |
Oleh Mohd Farhan Darwis
KUALA LUMPUR, 9 Jan — Datuk Seri Anwar
Ibrahim berkata “keadilan terbukti” apabila beliau didapati tidak
bersalah dan dibebaskan dari tuduhan liwat dan berjanji akan
“menumbangkan” Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.
“Alhamdulillah, keadilan terbukti. Sekarang kita perlu beri tumpuan
kepada pilihan raya umum,” katanya kepada pemberita selepas Mahkamah
Tinggi melepaskan dan membebaskannya daripada tuduhan meliwat bekas
pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Diah membuat keputusan itu
dengan alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa selain
pihak pendakwaan gagal membuktikan Anwar melakukan perbuatan itu.
Anwar, 64, berdepan tuduhan liwat kedua di mana beliau didapati
bersalah 10 tahun lalu dan dipenjarakan selama enam tahun sebelum
dibebaskan .
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dijangka akan mempengaruhi tarikh
pilihan raya umum ke-13 yang mana dijangkakan sokongan terhadap Anwar
dan Pakatan Rakyat akan meningkat.
“Saya ucap terima kasih kepada (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan
Ismail) dan keluarga, barisan peguam yang hebat, pimpinan Keadilan,
pimpinan PAS yang datang dengan penuh kekuatan,” kata Anwar.
Beliau turut ucapkan terima kasih kepada para pemimpin DAP dan PKR yang memberikan sokongan.
“Saya dibebaskan oleh mahkamah kerana didapati tidak bersalah,” kata Anwar.
Beliau menambah kemenangan ini adalah kemenangan rakyat tetapi perjuangan mesti diteruskan.
“Tugas kita sekarang bebaskan rakyat rakyat pula,” kata Anwar disambut laungan reformasi.
Sejak awal pagi tadi kawasan parkir kereta Kompleks Mahkamah Tinggi
Jalan Duta dibanjiri penyokong Anwar dan Pakatan Rakyat untuk memberikan
sokongan terhadap Ketua Umum PKR itu.
Dianggarkan seramai 5000 orang melaungkan slogan “Reformasi”, “Hidup Anwar”, “Keadilan”, dan “Allahuakbar”.
source: yahoo news
No comments:
Post a Comment