Shahrizat ambil cuti satu keputusan bijak |
Oleh Mohd Farhan Darwis
KUALA LUMPUR, 14 Jan — Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak menganggap keputusan menteri pembangunan Wanita
Keluarga dan Masyarakat mengambil cuti tiga minggu adalah tindakan yang
bijak.
Menurut Najib, keputusan tersebut akan memudahkan segala urusan
siasatan oleh pihak berkuasa terhadap skandal Pusat Fidlot Nasional
(NFC).
“Saya telah berbincang dengan Shahrizat berkenaan keputusan beliau
itu, dan itu satu keputusan bijak supaya pihak berkuasa dapat
menjalankan siasatan terhadap skandal terbabit,” kataya dipetik Bernama
Online.
“Shahrizat turut menyuarakan kesediaan untuk disiasat. Apa sahaja
yang berlaku selepas ini bergantung kepada hasil siasatan,” katanya
kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Hari Petani, Penternak,
dan Nelayan di parit Buntar, Perak.
Shahrizat (gambar) dalam kenyataannya Khamis lalu
menyatakan dia telah memohon cuti daripada menjalankan tugas sebagai
menteri selama tiga minggu kepada perdana menteri bermula Jumaat.
Isu NFC dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara 2010 apabila
menyatakan terdapatnya kecelaruan terhadap perjalanan projek berkenaan.
Perdana menteri turut berkata, kerajaan telah membekukan aset NFC
yang dipengerusikan oleh suami Shahrizat, Datuk Mohamad Salleh, tindakan
yang dilihat akan menyelesaikan kontroversi skandal yang menyelubungi
projek ternakan lembu berkenaan.
Jelas beliau, dengan keputusan ini, perjalanan projek tersebut akan
diawasi oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.
Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli pada Khamis lalu mendesak
kerajaan membekukan aset NFC berikutan terdapatnya dakwaan dan rancangan
mencurigakan untuk mengambil alih syarikat National Meat and Livestock
Corporation (NLFC) oleh NFC dalam satu Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM)
dengan mengeluarkan notis singkat untuk membuat keputusan.
Rafizi percaya tindakan itu adalah satu cubaan untuk menutup jejak
dan langkah penyelewengan yang berlaku dalam skandal tersebut.
source: yahoo news
No comments:
Post a Comment