KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Keputusan mahkamah berhubung kes liwat
Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan badan kehakiman negara bebas dan
mengeluarkan pendapat serta keputusan tanpa memilih bulu, kata Menteri
Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.
"Penghakiman sudah diputuskan...dengan itu sah badan kehakiman negara
ini mempunyai reputasi dan pendirian yang boleh disetarafkan dengan
keputusan kehakiman negara maju berasaskan kepada 'rule of law' atau
keunggulan undang-undang," katanya kepada pemberita, di sini pada Isnin.
Mahkamah Tinggi pada Isnin melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Terdahulu dalam satu kenyataan, Rais berkata Malaysia memiliki badan
kehakiman yang bebas dan keputusan tersebut membuktikan kerajaan tidak
mempunyai pengaruh ke atas keputusan hakim.
Gelombang terkini dalam perubahan demokratik berani yang diperkenalkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan membantu
memperluaskan ketelusan dalam semua bidang kehidupan di Malaysia,
katanya.
Rais memberitahu pemberita bahawa dengan keputusan itu juga, rakyat
harus terus berpegang teguh kepada prinsip keluhuran undang-undang.
"Tiada siapapun berada di tahap lebih tinggi daripada undang-undang negara.
"Dan saya yakin dengan keputusan ini, pengikut dan penyokong Datuk Seri
Anwar Ibrahim akan merasionalkan kedaulatan undang-undang negara yang
tersisip dalam Rukun Negara," katanya.
Beliau berharap tidak akan ada lagi spekulasi atau gesaan yang boleh
memecah-belahkan institusi atau elemen pentadbiran negara serta
perpaduan di negara ini.
"Keputusan dan pendapat mahkamah yang mencerminkan keadilan wajar kita hormati.
"Saya sendiri amat bangga dengan badan kehakiman Malaysia yang menjalankan tugas tanpa memilih bulu," katanya.
source:
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment