Nakhaie: Hasan dipecat kerana tidak diterima golongan liberal PAS |
Oleh Syed Mu’az Syed Putra
KUALA LUMPUR, 11 Jan — Pemecatan Datuk
Dr Hasan Ali daripada PAS disebabkan pengaruh golongan liberal dalam
parti Islam tersebut, kata bekas pemimpinnya Datuk Nakhaie Ahmad.
Jelas bekas naib presiden PAS ini, perubahan pemikiran dan barisan
kepimpinan baru yang dikuasai golongan liberal menyebabkan golongan
ulama diketepikan.
“Punca pemecatan Hasan Ali adalah perubahan yang berlaku dalam
PAS...PAS pada masa sekarang sudah banyak berubah yang mana dari segi
pemikiran ia berubah ke arah pandangan yang liberal dan yang kedua
adalah perubahan barisan kepimpinan, kalau dulu kepimpinan PAS adalah
kepimpinan ulama tapi sekarang kepimpinan PAS dikuasai golongan liberal.
“Dahulu kepimpinan ulama dalam PAS banyak menyentuh tentang politik
dalam kaitan dengan akidah dan sekarang sudah tentu pendekatan sekarang
adalah bagaimana untuk memperoleh kuasa...dengan sebab itu maka aliran
liberal begitu kelihatan dalam keputusan-keputusan yang dibuat,” katanya
kepada The Malaysian Insider.
Nakhaie menambah pandangan-pandangan yang dilontarkan bekas
Pesuruhjaya PAS Selangor itu mewakili pandangan era kepimpinan ulama
yang tidak boleh diterima barisan kepemimpinan baru parti Islam pimpinan
Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Jadi pandangan Hasan Ali tidak serasi dengan kepimpinan baru dan
pandangan yang mewakili zaman lama dianggap pandangan pengacau yang
menghalang perubahan dan pendekatan liberal yang diikuti PAS sekarang.
“Dalam kepimpinan liberal, soal akidah memang jelas tidak diberi
keutamaan, mereka sudah tidak memberi sokongan kepada isu akidah
seolah-olah sudah luput zamannya,” katanya.
Jelas beliau, golongan ulama dalam PAS juga akan menjadi “mangsa”
seperti Hasan sekiranya mengeluarkan pandangan yang bertentangan dengan
kepimpinan baru.
“Kalau tidak bersuara tindakan (dipecat) tidak akan dikenakan, tetapi
kalau bersuara mempertahankan pendirian mereka seperti menegakkan
negara Islam dan mempertahankan isu-isu akidah seperti mana Hasan Ali,
mereka juga akan dipecat
“Daripada akidah ke liberal, dalam pendirian liberal persoalan akidah
bukan menjadi hal utama kerana yang menjadi perhatian mereka adalah
kuasa,” katanya.
Hujung minggu lalu Hasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak
Setia telah dipecat keanggotaannya berkuatkuasa serta-merta kerana
mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan dasar parti.
Tindakan memecat Hasan dibuat berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian sebagai ahli PAS.
Hasan sebelum ini seringkali mengeluarkan kenyataan yang “menongkah arus”.
Keputusan memecat Hasan dibuat sebulat suara dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat.
source: yahoo news
No comments:
Post a Comment