
KUALA LUMPUR, 2 Jun — PAS mesti memberi tumpuan untuk 
menambah sokongan pengundi-pengundi Melayu sehingga empat peratus, tegas
 presidennya, Datuk Seri Hadi Awang.
Hadi (gambar) dalam ucapannya sewaktu Himpunan Hijau
 Menuju Putrajaya di Alor Star semalam menegaskan PAS mempunyai 
tanggungjawab berat yang perlu bagi menarik undi Melayu kepada parti 
tersebut.
“Antara langkah yang perlu diambil PAS adalah meyakinkan masyarakat 
Melayu bahawa PAS benar-benar bersedia untuk memimpin negara dan akan 
memartabat masyarakat Melayu dengan mendaulatkan Islam.
“Selain itu, ahli PAS perlu menyedarkan masyarakat Melayu dengan 
isu-isu yang mereka mempunyai kepentingan langsung seperti isu FELDA, 
pengambilan dan rampasan tanah, majoriti masyarakat Melayu yang 
terpinggir dan salah urus wang zakat,” tambah Ahli Parlimen Marang ini 
lagi.
Menjadikan masyarakat Melayu bandar dan golongan Melayu kelas 
pertengahan sebagai agen perubahan penting kepada pengundi-pengundi 
Melayu luar bandar turut menjadi matlamat parti komponen Pakatan Rakyat 
ini lagi
Jelas Hadi, bagi tujuan tersebut, partinya akan menggunakan bulan 
Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk melaksanakan perancangan
 mereka itu.
Selain itu, PAS turut mensasarkan untuk mendekati golongan-golongan 
yang berpengaruh besar dari kalangan pengundi-pengundi Melayu seperti 
penjawat awam dan pertubuhan masyarakat sivil.
Justeru, sambutan himpunan tersebut turut melihatkan penyertaan bekas
 Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk 
Profesor Dr Nik Zain Nik Yusof menyerahkan borang menjadi ahli PAS.
 Penyertaan Nik Zain itu dibuat dihadapan Hadi di depan lebih 100,000 ahli dan penyokong PAS di Stadium Darul Aman.
PAS dilihat mula merekrut golongan professional bekas pegawai 
kerajaan untuk menyertai parti tersebut bagi membolehkan mereka menerima
 sokongan pengundi Melayu dengan pilihan raya yang dijangka berlangsung 
tidak lama lagi.
Nik Zain telah menjawat jawatan sebagai KSU sejak 1998 hingga 2002 di kementerian tersebut.
Sebelum ini, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, 
Datuk Fauzi Shaari telah menyerahkan borang keahlian PAS secara rasmi.
Selain itu, Hadi turut mengambil kira sayap pemuda dan muslimat parti
 bagi menggembleng tenaga untuk meraih sokongan pengundi muda di bandar 
yang juga merupakan pengundi kali pertama sewaktu Pilihan Raya Umum 
ke-13 ini.
“PAS melalui Dewan Pemuda PAS perlu memberi tumpuan yang besar kepada
 pengundi-pengundi muda yang sebahagian besar mereka berada di 
bandar-bandar.
“Dewan Muslimat juga perlu mengekang dan mengurangkan sokongan kaum 
wanita kepada BN dan juga mendekati dengan berakhlak penggerak-penggerak
 KEMAS yang sebahagian besarnya dari kalangan kaum wanita,” katanya.
Hadi turut menegaskan, Dewan Ulama perlu mendekati golongan agamawan 
dan NGO-NGO Islam untuk meyakinkan mereka bahawa Pakatan Rakyat bersedia
 memikul amanah ke arah pemerintahan yang adil dan ihsan.
“PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan terus mendekati
 para pengundi bukan Islam untuk meyakinkan mereka dengan slogan ‘PAS 
for All’.”
Hadi turut menggesa semua ahli PAS mesti mendekati para pegawai 
kerajaan termasuk ahli-ahli pasukan keselamatan seperti anggota tentera,
 polis dan RELA di samping penyokong-penyokong Umno dengan akhlak yang 
terpuji supaya mereka beralih menyokong perjuangan Islam yang dipelopori
 oleh PAS.
“Sekiranya PAS dan PR diberi kepercayaan memimpin Malaysia kesemua 
mereka akan dilayan sama adil sebagaimana tuntutan Islam, dan seperti 
yang dipelajari dari Sirah Rasulullah s.a.w. tidak akan wujud gejala 
membalas dendam terhadap mana-mana pihak,” tambahnya lagi.
sumber: The Malaysian Insider  
